Thursday, November 29, 2012

IKAN MASAK SAMBAL

IKAN MASAK SAMBAL
Bahan-Bahannya:
3 ketul isi ikan - kali ini saya gunakan isi ikan nyok-nyok. Digaram kunyit dan digoreng.
5 sudu makan cili kering kisar
4 sudu makan air asam jawa
1/2 cawan air
1 biji bawang besar - dimayang bulat
1 batang serai - dititik

Bahan Tumbuk:
1 inci halia
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih

Cara Masak:

  1. Tumis bahan tumbuk dan serai hingga wangi.
  2. Masukkan cili kisar, tumis hingga pecah minyak dan agak garing.
  3. Masukkan air asam jawa, air, garam dan serbuk perasa. Kacau rata dan biarkan mendidih.
  4. Masukkan ikan goreng dan bawang besar. Kacau rata. Masak hingga kuahnya pekat dan menyaluti ikan.
  5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


AYAM MASAK MERAH

AYAM MASAK MERAH
Bahan-Bahannya:
1/2 ekor ayam - digaul garam dan kunyit, digoreng hingga masak
5 sudu makan cili kering kisar
4 sudu makan sos cili
4 sudu makan sos tomato
1 kulit kayu manis
1 bunga lawang
2 buah pelaga
1 biji bawang besar - dimayang bulat
1 biji cili merah - diambil kulitnya dan dihiris memanjang
1 batang serai - dititik

Bahan tumbuk lumat:
1 inci halia
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
Cara Memasak:
  1. Panaskan sedikit minyak, tumis buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga wangi.
  2. Masukkan bahan tumbuk dan serai, tumis hingga wangi.
  3. Masukkan cili kering kisar, tumis hingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos cili dan sos tomato, tumis hingga pecah minyak.
  5. Masukkan garam dan serbuk perasa. Kacau rata.
  6. Masukkan bawang besar, cili merah dan ayam goreng. Kacau rata dan masak hingga bawang besar dan cili layu.
  7. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


SOTONG GORENG KUNYIT

SOTONG GORENG KUNYIT
Bahan-Bahannya:
10 ekor sotong - dibersihkan dan dipotong cincin
1 biji bawang besar - dipotong baji
1 biji cili merah - dipotong serong
1 biji cili hijau - dipotong serong
1 tangkai daun kari
4 sudu makan air asam jawa
1 sudu teh serbuk kunyit

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah


Cara Masak:
  1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk dan daun kari hingga wangi.
  2. Masukkan serbuk kunyit, kacau rata.
  3. Masukkan air asam jawa, garam dan serbuk perasa. Gaul rata.
  4. Masukkan bahan-bahan lain dan sotong. Gaul rata hingga sotong masak iaitu dalam 5 minit aje.. (Jangan masak sotong terlalu lama, nanti sotong akan jadi liat)
  5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.



PAJERI NENAS UTARA

PAJERI NENAS UTARA
Bahan-bahannya:
1 biji nenas
1 biji kelapa - ambil santan pekat sikit dan santan cair 1 mangkuk
1 kulit kayu manis
1 bunga lawang
2 buah pelaga
2 sudu makan minyak masak
1/2 sudu makan gula putih
1/2 sudu makan gula merah
1/2 peket rempah kari daging + santan pekat tadi
garam
kerisik
daun kari

Bahan Tumbuk:
1 inci halia
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara Masak:

  1. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan daun kari hingga wangi.
  2. Masukkan bahan tumbuk, rempah kari dan garam. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan santan cair, nenas, gula putih, gula merah dan kerisik. Biarkan mendidh dan kuah pekat sikit.
  4. Siap dan sedia untuk dihidangkan.


ACAR RAMPAI

 ACAR RAMPAI
Bahan-Bahannya:
2 biji timun - dibuang empulurnya dan dipotong mancis
1 batang lobak - dipotong mancis
2 sudu makan lobak asin - dibasuh dan dicincang
10 ulas bawang merah - belah 2
6 ulas bawang putih - belah 2
4 biji cili merah - dipotong 2 dan dihiris mancis
4 biji cili hijau - dipotong 2 dan dihiris mancis
2 inci halia - dimayang halus
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu makan gula
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu makan biji sawi
5 sudu makan minyak masak
4 ulas bawang merah - dihiris nipis
1 sudu makan kismis

Bahan Kisar:
20 tangkai cili kering
2.5 cm kunyit hidup

Bahan Dicampur:
125 ml cuka
65 ml air
1 sudu makan gula
1/4 sudu teh garam
1/2 sudu teh perasa

Cara Masak:

  1. Masuk timun, lobak merah, lobak asin, bawang merah, bawang putih, cili dan halia ke dalam mangkuk. Masukkan garam, gula, serbuk kunyit. Gaul rata. Perap selama 1 jam. Kemudian toskan betul2.
  2. Sangai biji sawi selama 1 minit. Angkat dan ketepikan.
  3. Tumis bawang merah hiris hingga wangi.
  4. Masukkan bahan kisar. Tumis hingga pecah minyak.
  5. Tuang campuran cuka dan biarkan hingga mendidih.
  6. Masukkan sayuran, biji sawi dan kismis. Gaul rata hingga timun dan karot layu. Siap.


NASI BERYANI GAM AYAM


NASI BERYANI GAM AYAM
Bahan-Bahannya:
1 ekor ayam
1 batang serai - dititik
3 sudu makan sos cili
3 sudu makan tomato puree/sos tomato
5 sudu makan rempah beriani (kalau suka boleh lebihkan)
1/2 tin susu cair
1 cawan daun pudina - dicincang
1 cawan daun ketumbar - dicincang
sedikit daun sup - dicincang
sedikit daun bawang - dicincang
5 biji tomato - dibelah empat
2 biji cili hijau - dibelah dua
2 biji cili merah - dibelah dua
1/2 kg bawang kecil - dihiris nipis dan dibuat bawang goreng
1 tin kecil minyak sapi

Bahan Kisar:
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih
2 inci halia
3 biji cili hijau


Cara Memasak:
  1. Masak bahan kisar hingga mendidih.
  2. Masukkan ayam dan semua bahan kecuali bawang goreng dan daun-daun. Masak hingga kuah pekat.
  3. Masukkan daun-daun dan bawang goreng. (Lebih banyak bawang goreng lagi sedap). Masukkan garam secukup rasa.
  4. Bila agak kering rempahnya dan terbit minyak, keluarkan minyaknya sahaja dan ketepikan. (minyak ini akan digunakan untuk nasi)
  5. Pastikan kuah beriani betul-betul kering dan bersalut pada ayam. Angkat dan ketepikan. Jangan cuci periuk.. (Nak digunakan untuk nasi)


Bahan untuk nasi:
1 kg beras basmathi - rendam 1/2 jam
** 2 inci halia, 5 bunga cengkih, 1 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga, 1 kulit kayu manis, 2 helai daun pandan yg disimpulkan

Air secukupnya untuk mencelur beras - air mesti banyak
Garam secukup rasa
Sedikit air mawar
koma2 (safron) / pewarna kuning
1/2 tin susu cair
Untuk taburan: daun pudina, daun ketumbar, gajus/badam bakar, kismis, bawang goreng

Cara memasak nasi:
  1. Didihkan air bersama bahan bertanda **. Masukkan garam. Ambil sedikit air mendidih untuk merendam koma2 (kalau guna)
  2. Masukkan beras dan rebus hingga 3/4 masak, keluarkan beras dan tapiskan. Buang air rebusan nasi.
  3. Masukkan 1/2 bahagian nasi ke dalam periuk ayam tadi. Susun ayam menutupi nasi, tabur sedikit bawang goreng, daun pudina, daun ketumbar, gajus/badam.
  4. Tutup lapisan ayam dengan 1/2 bahagian nasi lagi. Ratakan, bubuh beberapa ketul ayam lagi.
  5. Tuangkan susu cair, minyak ayam yang diketepikan tadi serta titiskan pewarna kuning, sedikit air mawar dan bahan taburan lagi.
  6. Tutup periuk rapat-rapat. (Hari ni saya tindih tudung periuk dengan cerek yg penuh berisi air sebab malas nak lekatkan dengan bancuhan tepung. Sebelum ni saya tindih dengan lesung batu, tapi nak guna untuk masak lauk pulak kan.. hahaha...). Tanak atas api kecil hingga naik wap dan nasi masak sepenuhnya. Siap.